TUAN
MUKHTAR BOGOR DAN PENGAJARAN ILMU FALAK MENERUSI KITAB TAQRIBUL
MAQSOD FIL AMAL BI RUBU' MUJAYYAB
Oleh
: Anuar Bin Ariffin
Pengenalan
Syeikh
Muhammad Mukhtar bin 'Atharid al- Bughuri al-Betawi al-Jawi atau Tuan
Mukhtar Bogor merupakan salah seorang ulama Tanah Melayu yang
terkenal dan berpengaruh di Mekah suatu ketika dulu. Beliau lahir
pada hari Khamis, 14 Syaaban 1278H bersamaan 14 Februari 1862M di
Bogor, Jawa Barat.Tuan Mukhtar Bogor mengajar di Masjidil Haram
selama 28 tahun dari tahun 1903M hingga 1930M dan mempunyai ramai
murid di sana. Tuan Mukhtar Bogor meninggal dunia di Mekah pada 17
Safar 1349 bersamaan 13 Julai 1930M.
Pendidikan
Tuan Mukhtar Bogor
Beliau
mendapat pendidikan awal daripada orang tuanya sendiri, terutama
dalam bidang al-Quran yang seterusnya menjadikannya seorang yang
hafiz kitab suci Islam tersebut. Seterusnya Tuan Mukhtar Bogor
meneruskan pembelajarannya ke Jakarta dan berguru dengan ramai ulamak
dan mengkhatamkan pelbagai kitab dalam pelbagai bidang. Antara ulama
yang mengajar Tuan Mukhtar Bogor ialah Sayyid Muhamamad al-Minsyawi,
Sayyid Muhammad Jaafar al-Kattani, Sayyid Abu Bakri Syata, Syeikh
Muhammad Zainuddin al-Jawi as-Sumbawi dan Sayyid Muhammad bin
Sulaiman al-Makki.Beliau turut khatam kitab Fathul Muin dan syarahnya
I'anatul at-Tholibin dibawah bimbingan Syeikh Ahmad al-Fathani. Boleh
dikatakan beliau menguasai kesemua bidang ilmu agama melalui
ulama-ulama yang didampinginya.
Tuan
Mukhtar Bogor digambarkan sebagai seorang yang amat kuat belajar,
mengajar dan beramal. Beliau mengajar di Masjidil Haram selepas
maghrib dan disambung lagi selepas Isyak. Dirumahnya, Tuan Mukhtar
mengajar ilmu nahu, saraf dan balaghah selepas solat Subuh dan
mengajar kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali selepas Asar
setiap hari. Beliau mengajar ilmu falak dan miqat pada hari Selasa
menggunakan kitab susunannya sendiri.
Kesungguhan
Tuan Mukhtar Bogor mengajar telah melahirkan ramai anak murid yang
terkenal seperti Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang), Tengku
Mahmud Zuhdi (Syaik al-Islam Selangor), Kiyai Ahmad Dimyati bin
Abdullah at-Tamasi, Kiyai Haji Hashim al-Asyari (pengasas Nahdatul
Ulama Indonesia), Kiyai Haji Mansur bin Abdul Rahman al-Bogori,Tuan
Guru Haji Hasyim (Pondok Pasir Tumbuh,Kelantan) dan Tuan Guru Haji
Abdullah bin Abdul Rahman (Pondok Lubuk Tapah, Kelantan).
Walaupun
tidak banyak kitab falak karangan Tuan Mukhtar Bogor yang direkodkan,
Kitab Taqribul Maqsod Fil Amal Bi Rubu' Mujayyab cukup
terkenal di kalangan ahli falak dan menjadi rujukan kebanyakan ulama
Nusantara dalam memahami ilmu falak terutamanya tentang penggunaan
Rubu' Mujayyab.
Kitab
Taqribul Maqsod fi Amal Bi Rubu'
Mujayyab
Kitab
berbahasa Arab susunan Tuan Mukhtar Bogor ini selesai penulisannya
pada hari Khamis, 15 Syaaban 1308H bersamaan 24 Mac 1891M. Kitab yang
mengandungi 32 halaman ini membincangkan tentang Rubu' Mujayyab dan
kaedah-kaedah penggunaannya, dibahagikan kepada satu pendahuluan
(muqaddimah), empat belas (14) bab dan satu penutup (khatimah). Empat
belas bab yang disentuh dalam kitab ini ialah :
- Pada Mengetahui Irtifa' as-Syams ( Ketinggian Matahari)
- Pada Mengetahui Jayyib pada ketika irtifa' dan sebaliknya
- Pada Mengetahui Mil dan Ghayah
- Pada Mengetahui Bu'dul Qutur dan Asal Mutlak
- Pada Mengetahui Nisfu Fudhlah, Separuh Lengkungan Malam dan Siang dan Lengkung Keduanya
- Pada Mengetahui Saat Mustawiah al-Ghurubiah
- Pada Mengetahui Saat Mustawiah az-Zawaliah
- Pada Mengetahui Dzill daripada Irtifa' dan sebaliknya
- Pada Mengetahui Waktu-Waktu Solat Yang Lima serta Imsak , Terbit Matahari, Isyraq, Dhuha Syughra dan Kubra Dengan Jalan Hisab al-Ghurubiah
- Pada Mengetahui Waktu-Waktu Solat Yang Lima serta Imsak , Terbit Matahari, Isyraq, Dhuha Syughra dan Kubra Dengan Jalan Hisab az-Zawaliah
- Pada Mengetahui Arad Balad (Latitud Negeri) dan Arahnya
- Pada Mengetahui Thul Balad (Longitud Negeri)
- Pada Mengetahui Samt al-Qiblah (Nilai Kiblat) dan arahnya dari mana-mana negeri yang engkau kehendaki
- Pada Mengetahui Jihah al-Arba'ah (Arah Yang Empat/Mata Angin)
Seperti
kitab-kitab falak lain yang terdapat di alam Melayu, Tuan Mukhtar
Bogor memulakan pembelajaran Rubu' Mujayyab dengan memperkenalkan
resam atau lakaran atau lukisan
yang biasa terdapat pada sesebuah Rubu' Mujayyab itu. Ia terdiri
daripada 14 perkara iaitu,
1.
Markaz, iaitu lubang yang dimasukkan padanya benang. Dalam
nota kaki pada muka surat 3 kitab ini, Tuan Mukhtar Bogor menerangkan
bahawa maksud “markaz” yang digunakan untuk Rubu' Mujayyab adalah
istilah yang khas untuk rubu' sahaja kerana makna markaz membawa
makna yang berbeza di dalam bidang-bidang lain.
2.
Qaus Irtifa' iaitu lengkungan yang merentasi rubu'. Tuan
Mukhtar Bogor menambah lagi penerangan tentang qaus irtifa' dengan
ayat “ Awalnya (qaus) itu di sebelah kanan yang memandang ke muka
rubu' dan akhirnya(qaus) pada sebelah kiri orang yang memandangnya.
Terhimpun di dalam 90 darjah yang ditulis dengan huruf jumal, dan
terkandung dalamnya juga 12 buruj yang terdiri daripada Hamal, Tsaur,
Jauzak, Sarathan, Asad, Sunbulah, Mizan, Aqrab, Qaus, Jaddi, Dalu
dan Hut.
3.
Jaib at-Tamam, iaitu garisan lurus yang turun daripada markaz
ke awal qaus irtifa', yang dibahagikan kepada 60 darjah. Dalam kitab
ini, nilai nombor (60) ditulis dengan huruf jumali iaitu huruh
'sin'.
4.
As-Sittini, iaitu garisan lurus yang turun daripada markaz ke
akhir qaus irtifa', juga dibahagikan kepada 60 darjah.
5.
Daairata at-Tajyib, iaitu dua separuh bulatan yang keluar
daripada markaz dan berakhir salah satunya di akhir qaus dinamakan
Tajyib Awwal dan yang berakhir di awal qaus dinamakan sebagai Tajyib
Thani.
6.
Juyub al-Mabsutoh, iaitu garisan-garisan lurus yang turun
daripada as-Sittini ke qaus.
7.
Juyub al-Ma'kusah, iaitu garisan-garisan lurus yang turun
daripada Jaib Tamam ke qaus.
8.
Daaitratul Mil, iaitu lengkung kecil yang keluar daripada dua
hujungnya daripada markaz 24 darjah salah satu hujungnya as-Sittini
dan satu lagi Jaib Tamam. Dalam kitab ini Tuan Mukhtar Bogor
menggunakan huruf jumali, disebut 'Kadin' (Kaf dan Dal)
sebagai ganti untuk nombor 24.
9.
Qausa al-'Asrain, iaitu dua potongan daripada dua bulatan yang
besar yang keluar daripada awal qaus irtifa', yang memotong keduanya
garisan-garisan jaib, berakhir salah satunya pada nilai 42°
20' (ditulis dalam huruf jumal sebagai huruf “mim”, “ba” dan
“kaf”) pada garisan Sittini dan dinamakan sebagai Qaus Al-'Asr
al-Awwal. Manakala satu lagi berakhir pada nilai 26° 30' (ditulis
dalam kitab ini dengan huruf jumal “kaf”, “wau” dan “lam”)
dan dinamakan sebagai Qaus al-'Asr at-Thani.
10.
Qaimata az-Zhil, iaitu dua garisan yang turun ke qaus irtifa',
salah satunya daripada Sittini, yang biasanya dibezakan daripada
garisan-garisan jaib dengan meletakkan tanda noktah (titik) dan
dinamakan ia Qaimah az-Zil al-Mabsut.Manakala satu lagi turun
daripada Jaib Tamam dan dinamakan ia sebagai Qaimah az-Zil al-Mankus.
11.
Al-Hadafatani, iaitu dua tanggam, atau cabang yang lebih dalam
bentuk rubu' pada sebelah kiri biasanya, tetapi lebih baik dan elok
sekiranya berada di sebelah kanan.
12.
Al-Khoit, iaitu benang yang dicucuk pada markaz.
13.
Al-Muri, iaitu apa yang diikat pada khoit (benang), dan
seelok-eloknya mempunyai warna yang berlainan daripada warna benang.
14.
As-Syaqul, iaitu sesuatu yang diikat pada hujung benang
daripada timah atau tembaga atau besi.
Sepintas
Lalu Pengajaran Rubu' Mujayyab Oleh Tuan Mukhtar Bogor
Tuan
Mukhtar Bogor menulis kitab ini di dalam Bahasa Arab dengan gaya yang
tersendiri dalam pengajarannya tentang Rubu' Mujayyab. Antara gaya
penulisan pengajarannya ialah :
1.
Menggunakan bahasa dan perkataan yang ringkas dan padat maknanya.
Bagi penulis, inilah istimewanya Bahasa Arab yang mana apabila
ditulis dalam bentuk fi'il amar (arahan), bahasa dan
ayat-ayatnya ringkas dan padat. Tuan Mukhtar Bogor banyak menggunakan
perkataan 'Khuz' ( ) yang beerti bawakan/ambilkan,
'ud'/'id' ( ) yang beerti hitung, 'dho'' ( )
yang beerti letakkan dan 'zid' ( ) yang bermaksud
tambahkan/campurkan. Semua arahan tersebut amat ringkas dan padat
yang menyebabkab kitab ini kelihatan nipis dan kecil tetapi
memerlukan guru untuk memahami segala isi kandungannya.
2.
Tuan Mukhtar Bogor menggunakan kaedah jumali dalam penulisan
kitab ini iaitu menggunakan huruf bagi menggantikan angka atau
nombor. Huruf 'alif' bagi menggantikan nombor 1, 'ba'
menggantikan nombor 2, 'jim' menggantikan nombor 3, 'dal'
menggantikan nombor 4 dan seterusnya seperti di dalam lampiran 1.
Pelajar-pelajar ilmu falak dengan kitab ini perlu mengetahui huruf
jumali terlebih dahulu untuk memudahkan mereka memahamkan
keadah menggunakan Rubu' Mujayyab.
Sebagai
contoh, pada muka surat 4 kitab ini, diterangkan bahawa Jaib Tamam
itu ialah garisan yang turun daripada markaz ke awal Qaus Irtifa'
yang terbahagi daripada (sin) bahagian. ('Sin') mewakili huruf
jumali yang bermaksud 60. Juga pada muka surat 5, ketika menceritakan
tentang darjah Dairatul Mil, digunakan sebutan (Kadin) iaitu
huruf 'Kaf' dan 'Dal' yang menggantikan nombor 24.
3.
Penggunaan nota kaki yang menerangkan maksud sesuatu perkataan atau
ayat di dalam kitab Taqribul Maqsod fil Amal Bi Rubu' Mujayyab.
Ada beberapa perkataan yang makna dan maksudnya hanya tertentu dan
khusus untuk pengajaran Rubu' Mujayyab sahaja, walaupun ia digunakan
secara meluas di dalam bidang-bidang yang lain. Contohnya perkataan
'markaz', penggunaan di dalam pengajaran rubu' , ia merujuk
kepada lubang yang dicucuk padanya benang sedangkan di dalam bidang
lain ia membawa erti pusat atau titik tengah bagi sesuatu bulatan. Di
sini, Tuan Mukhtar Bogor menggunakan kaedah nota kaki untuk
menjelaskan maksud perkataan markaz kepada para pembaca.
Pada
muka surat 7, di dalam bab mengenai mengambil irtifa' matahari,
sekali lagi Tuan Mukhtar Bogor menggunakan nota kaki untuk membuat
perincian tentang cara memegang rubu'. Dalam nota kali nombor 1 muka
surat 7, diterangkan bahawa pengguna boleh memegang rubu' dengan dua
tangan tetapi lebih baik diletakkan rubu' di atas tempat khas seperti
kerusi bagi mengelakkan benang bergoyang dan menyukarkan bacaan
diambil. Diterangkan juga di dalam nota kaki kaedah bagaimana
mengambil irtifa' ketika matahari mulai malap, ketika matahari
terlindung di sebalik bukit atau pokok dan ketika matahari mula
terbit atau tenggelam.
Penutup
Kitab Taqribul Maqsod Fil Amal Bi Rubu'
Mujayyab
Di
dalam khatimah atau penutup kitab ini, Tuan Mukhtar Bogor
turut menerangkan beberapa kaedah ukur teknikal yang boleh dihitung
dengan menggunakan Rubu' Mujayyab seperti:
1.
Kaedah mengukur ketinggian objek
2.
Kaedah mengukur kedalaman telaga
3.
Kaedah mengukur keluasan sungai
4.
Kaedah mengukur jarak antara dua negara
Jelas
di sini, Tuan Mukhtar Bogor ingin menyatakan bahawa selain daripada
digunakan untuk tujuan ibadat seseorang Islam, Rubu' Mujayyab juga
mampu melakukan kerja-kerja ukur untuk kegunaan kehidupan seharian.
Kesimpulan
Sesungguhnya
ilmu falak amat sinonim dengan hisab dan hitungan. Dan ulama
terdahulu mencipta peralatan khusus bagi ilmu falak untuk memudahkan
kita membuat hitungan dan kiraan dengan tepat. Usaha Tuan Mukhtar
Bogor menulis dan mengajar kaedah penggunaan Rubu' Mujayyab melalui
kitab Taqribul Maqsod Fil Amal Bi Rubu' Mujayyab amat besar
ertinya kepada perkembangan ilmu falak di rantau ini. Kesinambungan
usaha beliau dapat dilihat pada kemunculan beberapa tulisan falak
mengenai Rubu' Mujayab di alam Melayu sendiri seperti Pedoman
Bahagia karangan Hj Soleh bin Harun Kemboja, Syamsul Fathiyyah
oleh Haji Umar Nuruddin Sungai Keladi, Qawaid Miqat karangan
Haji Abdul Rahman bin Soleh, Tashil Mubtadin Li Ma'rifati A'mal
ar-Rubu' al-Mujayyab Wal Miqat oleh Mahyuddin bin Abdul Mukmin
Sulaiman Kerinchi dan Al-Jawahir an-Naqiah Fil A'mal al-Jaibiyyah
oleh Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif al-Minangkabawi al-Jawi.
Pengajian
dan penggalian semula ilmu falak melalui kitab-kitab sebegini
diharapkan dapat menimbulkan minat terhadap ilmu falak disamping
menghargai usaha dan gigih perih ulama-ulama silam, bukan sahaja
dalam mengembangkan ilmu semata-mata malah yang lebih penting
berusaha sedaya mungkin mencari redha Allah SWT dengan mencapai
kesempurnaan di dalam beribadat. Wallahu a'lam.
Penulis bersama Kiyai Haji Osman bin Ahmad,
Pengajar
Kitab Taqribul Maqsod
Rujukan
:
- Kitab Taqribul Maqsod Fil Amal Bi Rubu' Mujayyab, Muhammad Mukhtar A'tharid al-Jawi al-Bogori
- Almarhum Ustaz Wan Soghir, Khazanah Fathaniyyah
- Kiyai Haji Osman Bin Ahmad , Maahad Syeikh Ahmad Daud an-Naqsyabandiyyah, Sumatera, Indonesia
- Ustaz Wan Mohd Hafiz Bin Wan Salleh, Madrasah Wan Salleh, Jitra, Kedah
- Pedoman Bahagia, Haji Saleh bin Haji Harun Kemboja
- Syamsul Fathiah, Haji Umar Nuruddin Sungai Keladi
- Qawaid Miqat, Haji Abdul Rahman Soleh
- Tashil al-Mubtadin Li Ma'rifati A'mal ar-Rubu' al-Mujayyab wal Miqat, Mahyuddin bin Abdul Mukmin Sulaiman Kerinchi
- Al-Jawahir an-Naqiah Fil A'mal al-Jaibiyyah, Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif al-Minangkabawi al-Jawi
Lampiran
Kaedah
Huruf Jumali