Monday, October 12, 2015

TUAN MUKHTAR BOGOR DAN PENGAJARAN ILMU FALAK MENERUSI KITAB TAQRIBUL MAQSOD FIL AMAL BI RUBU' MUJAYYAB

TUAN MUKHTAR BOGOR DAN PENGAJARAN ILMU FALAK MENERUSI KITAB TAQRIBUL MAQSOD FIL AMAL BI RUBU' MUJAYYAB
Oleh : Anuar Bin Ariffin

Pengenalan

Syeikh Muhammad Mukhtar bin 'Atharid al- Bughuri al-Betawi al-Jawi atau Tuan Mukhtar Bogor merupakan salah seorang ulama Tanah Melayu yang terkenal dan berpengaruh di Mekah suatu ketika dulu. Beliau lahir pada hari Khamis, 14 Syaaban 1278H bersamaan 14 Februari 1862M di Bogor, Jawa Barat.Tuan Mukhtar Bogor mengajar di Masjidil Haram selama 28 tahun dari tahun 1903M hingga 1930M dan mempunyai ramai murid di sana. Tuan Mukhtar Bogor meninggal dunia di Mekah pada 17 Safar 1349 bersamaan 13 Julai 1930M.

Pendidikan Tuan Mukhtar Bogor

Beliau mendapat pendidikan awal daripada orang tuanya sendiri, terutama dalam bidang al-Quran yang seterusnya menjadikannya seorang yang hafiz kitab suci Islam tersebut. Seterusnya Tuan Mukhtar Bogor meneruskan pembelajarannya ke Jakarta dan berguru dengan ramai ulamak dan mengkhatamkan pelbagai kitab dalam pelbagai bidang. Antara ulama yang mengajar Tuan Mukhtar Bogor ialah Sayyid Muhamamad al-Minsyawi, Sayyid Muhammad Jaafar al-Kattani, Sayyid Abu Bakri Syata, Syeikh Muhammad Zainuddin al-Jawi as-Sumbawi dan Sayyid Muhammad bin Sulaiman al-Makki.Beliau turut khatam kitab Fathul Muin dan syarahnya I'anatul at-Tholibin dibawah bimbingan Syeikh Ahmad al-Fathani. Boleh dikatakan beliau menguasai kesemua bidang ilmu agama melalui ulama-ulama yang didampinginya.

Tuan Mukhtar Bogor digambarkan sebagai seorang yang amat kuat belajar, mengajar dan beramal. Beliau mengajar di Masjidil Haram selepas maghrib dan disambung lagi selepas Isyak. Dirumahnya, Tuan Mukhtar mengajar ilmu nahu, saraf dan balaghah selepas solat Subuh dan mengajar kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali selepas Asar setiap hari. Beliau mengajar ilmu falak dan miqat pada hari Selasa menggunakan kitab susunannya sendiri.

Kesungguhan Tuan Mukhtar Bogor mengajar telah melahirkan ramai anak murid yang terkenal seperti Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang), Tengku Mahmud Zuhdi (Syaik al-Islam Selangor), Kiyai Ahmad Dimyati bin Abdullah at-Tamasi, Kiyai Haji Hashim al-Asyari (pengasas Nahdatul Ulama Indonesia), Kiyai Haji Mansur bin Abdul Rahman al-Bogori,Tuan Guru Haji Hasyim (Pondok Pasir Tumbuh,Kelantan) dan Tuan Guru Haji Abdullah bin Abdul Rahman (Pondok Lubuk Tapah, Kelantan).

Walaupun tidak banyak kitab falak karangan Tuan Mukhtar Bogor yang direkodkan, Kitab Taqribul Maqsod Fil Amal Bi Rubu' Mujayyab cukup terkenal di kalangan ahli falak dan menjadi rujukan kebanyakan ulama Nusantara dalam memahami ilmu falak terutamanya tentang penggunaan Rubu' Mujayyab.

Kitab Taqribul Maqsod fi Amal Bi Rubu' Mujayyab

Kitab berbahasa Arab susunan Tuan Mukhtar Bogor ini selesai penulisannya pada hari Khamis, 15 Syaaban 1308H bersamaan 24 Mac 1891M. Kitab yang mengandungi 32 halaman ini membincangkan tentang Rubu' Mujayyab dan kaedah-kaedah penggunaannya, dibahagikan kepada satu pendahuluan (muqaddimah), empat belas (14) bab dan satu penutup (khatimah). Empat belas bab yang disentuh dalam kitab ini ialah :
  1. Pada Mengetahui Irtifa' as-Syams ( Ketinggian Matahari)
  2. Pada Mengetahui Jayyib pada ketika irtifa' dan sebaliknya
  3. Pada Mengetahui Mil dan Ghayah
  4. Pada Mengetahui Bu'dul Qutur dan Asal Mutlak
  5. Pada Mengetahui Nisfu Fudhlah, Separuh Lengkungan Malam dan Siang dan Lengkung Keduanya
  6. Pada Mengetahui Saat Mustawiah al-Ghurubiah
  7. Pada Mengetahui Saat Mustawiah az-Zawaliah
  8. Pada Mengetahui Dzill daripada Irtifa' dan sebaliknya
  9. Pada Mengetahui Waktu-Waktu Solat Yang Lima serta Imsak , Terbit Matahari, Isyraq, Dhuha Syughra dan Kubra Dengan Jalan Hisab al-Ghurubiah
  10. Pada Mengetahui Waktu-Waktu Solat Yang Lima serta Imsak , Terbit Matahari, Isyraq, Dhuha Syughra dan Kubra Dengan Jalan Hisab az-Zawaliah
  11. Pada Mengetahui Arad Balad (Latitud Negeri) dan Arahnya
  12. Pada Mengetahui Thul Balad (Longitud Negeri)
  13. Pada Mengetahui Samt al-Qiblah (Nilai Kiblat) dan arahnya dari mana-mana negeri yang engkau kehendaki
  14. Pada Mengetahui Jihah al-Arba'ah (Arah Yang Empat/Mata Angin)
Seperti kitab-kitab falak lain yang terdapat di alam Melayu, Tuan Mukhtar Bogor memulakan pembelajaran Rubu' Mujayyab dengan memperkenalkan resam atau lakaran atau lukisan yang biasa terdapat pada sesebuah Rubu' Mujayyab itu. Ia terdiri daripada 14 perkara iaitu,

1. Markaz, iaitu lubang yang dimasukkan padanya benang. Dalam nota kaki pada muka surat 3 kitab ini, Tuan Mukhtar Bogor menerangkan bahawa maksud “markaz” yang digunakan untuk Rubu' Mujayyab adalah istilah yang khas untuk rubu' sahaja kerana makna markaz membawa makna yang berbeza di dalam bidang-bidang lain.

2. Qaus Irtifa' iaitu lengkungan yang merentasi rubu'. Tuan Mukhtar Bogor menambah lagi penerangan tentang qaus irtifa' dengan ayat “ Awalnya (qaus) itu di sebelah kanan yang memandang ke muka rubu' dan akhirnya(qaus) pada sebelah kiri orang yang memandangnya. Terhimpun di dalam 90 darjah yang ditulis dengan huruf jumal, dan terkandung dalamnya juga 12 buruj yang terdiri daripada Hamal, Tsaur, Jauzak, Sarathan, Asad, Sunbulah, Mizan, Aqrab, Qaus, Jaddi, Dalu dan Hut.

3. Jaib at-Tamam, iaitu garisan lurus yang turun daripada markaz ke awal qaus irtifa', yang dibahagikan kepada 60 darjah. Dalam kitab ini, nilai nombor (60) ditulis dengan huruf jumali iaitu huruh 'sin'.

4. As-Sittini, iaitu garisan lurus yang turun daripada markaz ke akhir qaus irtifa', juga dibahagikan kepada 60 darjah.

5. Daairata at-Tajyib, iaitu dua separuh bulatan yang keluar daripada markaz dan berakhir salah satunya di akhir qaus dinamakan Tajyib Awwal dan yang berakhir di awal qaus dinamakan sebagai Tajyib Thani.

6. Juyub al-Mabsutoh, iaitu garisan-garisan lurus yang turun daripada as-Sittini ke qaus.

7. Juyub al-Ma'kusah, iaitu garisan-garisan lurus yang turun daripada Jaib Tamam ke qaus.

8. Daaitratul Mil, iaitu lengkung kecil yang keluar daripada dua hujungnya daripada markaz 24 darjah salah satu hujungnya as-Sittini dan satu lagi Jaib Tamam. Dalam kitab ini Tuan Mukhtar Bogor menggunakan huruf jumali, disebut 'Kadin' (Kaf dan Dal) sebagai ganti untuk nombor 24.

9. Qausa al-'Asrain, iaitu dua potongan daripada dua bulatan yang besar yang keluar daripada awal qaus irtifa', yang memotong keduanya garisan-garisan jaib, berakhir salah satunya pada nilai 42° 20' (ditulis dalam huruf jumal sebagai huruf “mim”, “ba” dan “kaf”) pada garisan Sittini dan dinamakan sebagai Qaus Al-'Asr al-Awwal. Manakala satu lagi berakhir pada nilai 26° 30' (ditulis dalam kitab ini dengan huruf jumal “kaf”, “wau” dan “lam”) dan dinamakan sebagai Qaus al-'Asr at-Thani.

10. Qaimata az-Zhil, iaitu dua garisan yang turun ke qaus irtifa', salah satunya daripada Sittini, yang biasanya dibezakan daripada garisan-garisan jaib dengan meletakkan tanda noktah (titik) dan dinamakan ia Qaimah az-Zil al-Mabsut.Manakala satu lagi turun daripada Jaib Tamam dan dinamakan ia sebagai Qaimah az-Zil al-Mankus.

11. Al-Hadafatani, iaitu dua tanggam, atau cabang yang lebih dalam bentuk rubu' pada sebelah kiri biasanya, tetapi lebih baik dan elok sekiranya berada di sebelah kanan.

12. Al-Khoit, iaitu benang yang dicucuk pada markaz.

13. Al-Muri, iaitu apa yang diikat pada khoit (benang), dan seelok-eloknya mempunyai warna yang berlainan daripada warna benang.

14. As-Syaqul, iaitu sesuatu yang diikat pada hujung benang daripada timah atau tembaga atau besi.

Sepintas Lalu Pengajaran Rubu' Mujayyab Oleh Tuan Mukhtar Bogor

Tuan Mukhtar Bogor menulis kitab ini di dalam Bahasa Arab dengan gaya yang tersendiri dalam pengajarannya tentang Rubu' Mujayyab. Antara gaya penulisan pengajarannya ialah :

1. Menggunakan bahasa dan perkataan yang ringkas dan padat maknanya. Bagi penulis, inilah istimewanya Bahasa Arab yang mana apabila ditulis dalam bentuk fi'il amar (arahan), bahasa dan ayat-ayatnya ringkas dan padat. Tuan Mukhtar Bogor banyak menggunakan perkataan 'Khuz' ( ) yang beerti bawakan/ambilkan, 'ud'/'id' ( ) yang beerti hitung, 'dho'' ( ) yang beerti letakkan dan 'zid' ( ) yang bermaksud tambahkan/campurkan. Semua arahan tersebut amat ringkas dan padat yang menyebabkab kitab ini kelihatan nipis dan kecil tetapi memerlukan guru untuk memahami segala isi kandungannya.

2. Tuan Mukhtar Bogor menggunakan kaedah jumali dalam penulisan kitab ini iaitu menggunakan huruf bagi menggantikan angka atau nombor. Huruf 'alif' bagi menggantikan nombor 1, 'ba' menggantikan nombor 2, 'jim' menggantikan nombor 3, 'dal' menggantikan nombor 4 dan seterusnya seperti di dalam lampiran 1. Pelajar-pelajar ilmu falak dengan kitab ini perlu mengetahui huruf jumali terlebih dahulu untuk memudahkan mereka memahamkan keadah menggunakan Rubu' Mujayyab.

Sebagai contoh, pada muka surat 4 kitab ini, diterangkan bahawa Jaib Tamam itu ialah garisan yang turun daripada markaz ke awal Qaus Irtifa' yang terbahagi daripada (sin) bahagian. ('Sin') mewakili huruf jumali yang bermaksud 60. Juga pada muka surat 5, ketika menceritakan tentang darjah Dairatul Mil, digunakan sebutan (Kadin) iaitu huruf 'Kaf' dan 'Dal' yang menggantikan nombor 24.

3. Penggunaan nota kaki yang menerangkan maksud sesuatu perkataan atau ayat di dalam kitab Taqribul Maqsod fil Amal Bi Rubu' Mujayyab. Ada beberapa perkataan yang makna dan maksudnya hanya tertentu dan khusus untuk pengajaran Rubu' Mujayyab sahaja, walaupun ia digunakan secara meluas di dalam bidang-bidang yang lain. Contohnya perkataan 'markaz', penggunaan di dalam pengajaran rubu' , ia merujuk kepada lubang yang dicucuk padanya benang sedangkan di dalam bidang lain ia membawa erti pusat atau titik tengah bagi sesuatu bulatan. Di sini, Tuan Mukhtar Bogor menggunakan kaedah nota kaki untuk menjelaskan maksud perkataan markaz kepada para pembaca.

Pada muka surat 7, di dalam bab mengenai mengambil irtifa' matahari, sekali lagi Tuan Mukhtar Bogor menggunakan nota kaki untuk membuat perincian tentang cara memegang rubu'. Dalam nota kali nombor 1 muka surat 7, diterangkan bahawa pengguna boleh memegang rubu' dengan dua tangan tetapi lebih baik diletakkan rubu' di atas tempat khas seperti kerusi bagi mengelakkan benang bergoyang dan menyukarkan bacaan diambil. Diterangkan juga di dalam nota kaki kaedah bagaimana mengambil irtifa' ketika matahari mulai malap, ketika matahari terlindung di sebalik bukit atau pokok dan ketika matahari mula terbit atau tenggelam.

Penutup Kitab Taqribul Maqsod Fil Amal Bi Rubu' Mujayyab

Di dalam khatimah atau penutup kitab ini, Tuan Mukhtar Bogor turut menerangkan beberapa kaedah ukur teknikal yang boleh dihitung dengan menggunakan Rubu' Mujayyab seperti:

1. Kaedah mengukur ketinggian objek
2. Kaedah mengukur kedalaman telaga
3. Kaedah mengukur keluasan sungai
4. Kaedah mengukur jarak antara dua negara

Jelas di sini, Tuan Mukhtar Bogor ingin menyatakan bahawa selain daripada digunakan untuk tujuan ibadat seseorang Islam, Rubu' Mujayyab juga mampu melakukan kerja-kerja ukur untuk kegunaan kehidupan seharian.

Kesimpulan

Sesungguhnya ilmu falak amat sinonim dengan hisab dan hitungan. Dan ulama terdahulu mencipta peralatan khusus bagi ilmu falak untuk memudahkan kita membuat hitungan dan kiraan dengan tepat. Usaha Tuan Mukhtar Bogor menulis dan mengajar kaedah penggunaan Rubu' Mujayyab melalui kitab Taqribul Maqsod Fil Amal Bi Rubu' Mujayyab amat besar ertinya kepada perkembangan ilmu falak di rantau ini. Kesinambungan usaha beliau dapat dilihat pada kemunculan beberapa tulisan falak mengenai Rubu' Mujayab di alam Melayu sendiri seperti Pedoman Bahagia karangan Hj Soleh bin Harun Kemboja, Syamsul Fathiyyah oleh Haji Umar Nuruddin Sungai Keladi, Qawaid Miqat karangan Haji Abdul Rahman bin Soleh, Tashil Mubtadin Li Ma'rifati A'mal ar-Rubu' al-Mujayyab Wal Miqat oleh Mahyuddin bin Abdul Mukmin Sulaiman Kerinchi dan Al-Jawahir an-Naqiah Fil A'mal al-Jaibiyyah oleh Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif al-Minangkabawi al-Jawi.

Pengajian dan penggalian semula ilmu falak melalui kitab-kitab sebegini diharapkan dapat menimbulkan minat terhadap ilmu falak disamping menghargai usaha dan gigih perih ulama-ulama silam, bukan sahaja dalam mengembangkan ilmu semata-mata malah yang lebih penting berusaha sedaya mungkin mencari redha Allah SWT dengan mencapai kesempurnaan di dalam beribadat. Wallahu a'lam.


                                             Kitab Taqribul Maqsod Fil Amal Bi Rubu' Mujayyab


                                      Penulis bersama Kiyai Haji Osman bin Ahmad,
                                               Pengajar Kitab Taqribul Maqsod
Rujukan :

  1. Kitab Taqribul Maqsod Fil Amal Bi Rubu' Mujayyab, Muhammad Mukhtar A'tharid al-Jawi al-Bogori
  2. Almarhum Ustaz Wan Soghir, Khazanah Fathaniyyah
  3. Kiyai Haji Osman Bin Ahmad , Maahad Syeikh Ahmad Daud an-Naqsyabandiyyah, Sumatera, Indonesia
  4. Ustaz Wan Mohd Hafiz Bin Wan Salleh, Madrasah Wan Salleh, Jitra, Kedah
  5. Pedoman Bahagia, Haji Saleh bin Haji Harun Kemboja
  6. Syamsul Fathiah, Haji Umar Nuruddin Sungai Keladi
  7. Qawaid Miqat, Haji Abdul Rahman Soleh
  8. Tashil al-Mubtadin Li Ma'rifati A'mal ar-Rubu' al-Mujayyab wal Miqat, Mahyuddin bin Abdul Mukmin Sulaiman Kerinchi
  9. Al-Jawahir an-Naqiah Fil A'mal al-Jaibiyyah, Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif al-Minangkabawi al-Jawi


Lampiran



Kaedah Huruf Jumali


Saturday, October 10, 2015

Pengajian Turath Falak

Alhamdulilah...setelah sekian lama kelas turath falak terhenti, semalam 9 Oktober 2015, kelas anjuran Jabatan Mufti Pulau Pinang itu bersambung semula. Menyambung kitab Taqribul Maqsod dalam bab mencari bu'dul qutr dan asal mutlak. Untuk kitab Sullamun Niirain pula, bersambung bab mengenai hisabiyyah ijtimak dan awal bulan Ramadan untuk tahun 1437H. Syukran jazilan buat tuan guru Ustaz Wan Mohd Hafiz Wan Salleh yang menunjuk ajar semua peserta yang rata- ratanya pertama kali menyertai kelas ini. Moga berjumpa lagi pada siri akn datang. Insya Allah...jom raikan falak....


Saturday, October 3, 2015

Bulan,Wanita dan Talak


Dalam kitab Hayatul Hayawanat al-Kubra,pada membicarakan bab "al-Insaan", terdapat satu kisah yang dicoretkan tentang seorang lelaki yang berkata kepada isterinya, " Engkau tertalak tiga sekiranya tiada jadi engkau bagi diriku lebih baik ( lebih cantik) daripada bulan". Mengadu isterinya pada penguasa dan seluruh bandar tempat tinggalnya mengatakan bahawa wanita itu telah tertalak tiga. Tiba berita ini kepada  seorang alim....lalu beliau mengatakan tidak jatuh talak tersebut. Ini berdasarkan surah at-Tiin...ayat 4..."Sesungguhnya kami (Allah) jadikan manusia (insaan) itu sebaik- baik kejadian". Makanya, insaan iaitu manusia adalah lebih baik, lebih cantik,lebih elok daripada segala ciptaan Allah yang lain....
Wallahu a' lam....jom raikan falak...